Nampaknya tular sudah #MalaysiaMembaca.
Takkanlah aku tak mahu ikut sekali? Trend yang baik seeloknya diikut. Bukannya trend yang entah apa-apa kita berebut-rebut nak buat.
Jadi aku juga, macam orang lain, nak senaraikan juga buku-buku kegemaran aku. Sebenarnya tak cukup 5 sahaja, tapi sebab selain daripada nak senaraikan buku-buku ni, aku nak juga cerita apa yang aku belajar daripada buku-buku ni.
Jadi, 5 cukup ek?
(Senarai ni tak mengikut turutan kegemaran)
The Definitive Book of Body Language oleh
Allan & Barbara Pease
Sebagai seseorang yang belajar psikologi, buku ini semestinya antara buku yang paling aku suka baca. Buku ini bukan setakat cerita pasal bahasa badan, malah asal-usul fisiologinya juga. Antara benda yang aku belajar ialah bahasa badan kita sangat berkait dengan naluri kita dan apa yang kita nak buat.
Contoh, kau rasa nak pukul orang sebelah kau tu. Tapi mestilah kau tahan kan? Takkanlah kau nak tunjuk dekat orang yang kau nak pukul orang kan? Tapi gaya kau menahan, sama ada kau sedar atau tidak, sebenarnya boleh dirungkaikan, untuk merungkaikan niat kau yang nak sangat pukul orang tu.
Satu lagi benda yang aku belajar, bahasa badan sangat, sangat, sukar untuk dipalsukan. Aku teringat hadis Rasulullah SAW yang anggota badan kita akan berkata benar & takkan menipu di hari akhirat nanti. Sebenarnya, di dunia lagi pun Allah dah tunjukkan nilai kebenarannya. Bahasa badan sangat sukar untuk dipalsukan. Walaupun mulut kau kata lain, badan kau boleh bagi klu-klu tentang apa sebenarnya yang kau selindungkan.
Why Men Don't Listen & Women Can't Read Maps oleh
Allan & Barbara Pease
Buku ini menceritakan secara terus terang kenapa lelaki & perempuan itu berbeza, dan bagaimana perbezaan itu membentuk realiti sekarang. Semuanya diterangkan melalui sains & bukti biologi & fisiologi yang kukuh.
Zaman sekarang ini, kesamarataan antara jantina sangat, sangat, dititikberatkan. Hal ini semestinya suatu yang positif, tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa kedua-dua jantina itu sememangnya berbeza sejak azali. Maka, semestinya perbezaan itu akan terserlah juga. Dan perbezaan itu tidaklah menunjukkan bahawa satu jantina itu lebih baik daripada jantina yang lain.
Matlamat buku ini pun bukanlah untuk meluaskan lagi jurang sedia ada antara lelaki & perempuan. Tetapi untuk mengkaji & mempelajari mengenai jurang sedia ada. Jadi seharusnya selepas kita baca buku ini, kita sepatutnya lebih sedar dengan tindakan kita; adakah sekadar memenuhi stereotaip, atau semata-mata melawan stereotaip, atau kerana kita betul-betul mahukannya/perlukannya.
Strategi Kakitangan Dajjal Menghancurkan Islam oleh
Mohammad Suhair Asyaraf
Barangkali buku seperti ini sudah berlambak di pasaran. Namun aku secara khususnya sangat suka buku ini. Kenapa?
Selalunya apabila buku pasal Dajjal ini ditulis, tema utamanya ialah merungkai hubungan antara Amerika Syarikat, Yahudi, Freemason, Illuminati & sebagainya, dengan Dajjal. Aku tak nafikan, bahkan aku perlu tekankan juga, mengetahui semua ini amat penting.
Tetapi tema utama buku ini bukanlah mengenai 'siapa', tetapi 'bagaimana'. Maksudnya, buku ini tidak bercerita panjang mengenai bagaimana Amerika Syarikat, Yahudi, Freemason & Illuminati berkaitan dengan Dajjal, tetapi buku ini bercerita tentang strategi bagaimana Dajjal menghancurkan Islam itu sendiri. Tajuk buku ini memang sangat bertepatan & tidak menipu.
Dan aku rasa inilah yang masyarakat Islam paling perlukan sekarang. Mengkaji strategi mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan Islam & merancang serang balas. Hal ini akan lebih meningkatkan kualiti masyarakat Islam.
Sibuk-sibuk tentang Amerika Syarikat, Yahudi, Freemason & Illuminati hanya akan lebih menimbulkan kerisauan, kebencian melampau, dan akhirnya penafian & pengasingan diri daripada realiti.
Sampaikan nak makan nasi lemak pun takut, sebab bentuk piramid Illuminati katanya.
Andai Syurga & Neraka Tidak Ada oleh
Muhammad Hasan Basri
Ya, soalan ini ialah satu soalan yang sangat menarik untuk ditanya.
Andai syurga & neraka itu tidak ada, apakah amalan kita akan kekal sama?
Buku ini bercerita dengan penuh perincian mengenai segala nikmat-nikmat dan azab-azab sam'iat yang sering diceritakan pada kita. Buku ini tidaklah 'menghapuskan' syurga & neraka daripada kamus kehidupan kita. Bukan hak sesiapa pun untuk bertindak begitu, kerana Allah sendiri yang memberi janji syurga & neraka ini. Namun, dengan meningkatnya pemahaman kita mengenai syurga & neraka sebagai mekanisma untuk kita menjadi hamba yang lebih baik, akan bertambahlah keikhlasan kita untuk menjadi hamba yang dekat kepada Allah.
Dakwah Biar Santai Tapi Sampai oleh
Prof Madya Dr. Mohd Nor Mamat
Dulu aku selalu sempitkan pemikiran aku bahawa dakwah itu ialah akak-akak tudung labuh datang ajar usrah, lepas tu pergi pintu ke pintu ajak pergi
gathering.
Itu semua bukanlah salah.
Tetapi, pada dasarnya, dakwah itu adalah mengajak ke arah kebaikan. Itu sahaja.
Maka, manusia secara asasnya, pasti tidak akan menggunakan cara-cara yang pasti akan ditolak, untuk mengajak manusia lain melakukan sesuatu.
Maka di sinilah datangnya seni dalam memastikan mesej kita sampai.
Santai tidak bermaksud dakwah yang kurang berkualiti.
Ada situasi yang memerlukan mesej yang besar untuk disampaikan.
Ada situasi yang cukup sekadar mesej yang ringan untuk disampaikan.
Lain audiens, lain juga cara penyampaiannya; ramai, sikit, kanak-kanak, remaja, dewasa, orang tua, golongan atasan, golongan bahawa.
Lain medium, lain juga cara pengolahan kandungan;
face-to-face, ceramah, forum, diskusi, video, penulisan, media sosial
Banyak lagi ilmu Tuhan yang perlu kita gali lagi.
Ini baru sedikit yang aku dapat ceritakan.
Marilah kita bersama-sama kembara lagi mencari ilmu Tuhan.
Comments
Post a Comment