Dah berminggu-minggu & aku masih seram sejuk mengenangkan filem ni…
Jujur aku cakap, aku lagi suka tengok BoBoiBoy daripada Ejen Ali. Secara umumnya, ada 3 sebab; kualiti produksi, humor & jalan cerita.
Pasal kualiti produksi, dua-dua siri animasi ini sama padunya, buat aku kagum. Daripada segi humor pula, aku lebih suka BoBoiBoy kerana lebih banyak & lebih santai. Tapi padanlah, kerana jalan cerita Ejen Ali lebih serius, berbanding BoBoiBoy.
Jalan ceritalah sebab utama kenapa aku lebih suka BoBoiBoy. BoBoiBoy menjanjikan
plot twist pada setiap episod, yang sungguh aku tidak sangka & sangat aku suka. Menonton Ejen Ali pula, selain daripada jalan cerita yang agak serius, aku lebih banyak temui tanda soal demi tanda soal.
IRIS nak kawal Ali? Apa motifnya? Kenapa sejenis AI nak mengawal Ali untuk memusnahkan apa-apa sahaja yang ada di hadapannya?
Kenapa Override Uno boleh dikawal oleh Uno sendiri?
Bukan mula-mula masa Override Ali keluar, Ali masih boleh kawal? Kenapa tiba-tiba tak boleh sudah?
Maka sebab itulah, aku lebih teruja apabila BoBoiBoy the Movie 2 keluar tahun lepas. Tengok iklan Ejen Ali pun, aku sekadar mengangguk & berbangga dalam diri terhadap animasi tempatan. Tapi setakat itu sahajalah. Asalnya tiada niat mahu tengok pun.
Namun, sebagai seorang peminat BoBoiBoy, aku juga tidak boleh melepaskan Ejen Ali. Macam yang aku cakap tadi, jalan cerita yang aku rasa terlalu banyak tanda soal, aku harap aku dapat jumpa jawapannya apabila aku tengok filem ini.
Hasilnya?
Lencun sapu tangan aku dengan air mata. Bising aku antara paling menyerlah dalam pawagam. Paling penting, segala persoalan aku mengenai kedua-dua musim Ejen Ali terjawab terus dalam filem ini. Semuanya. Barulah aku betul faham tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua musim itu.
Sekurang-kurangnya berbanding BoBoiBoy The Movie 2, aku boleh dengan selamatnya sekarang katakan, aku lagi suka Ejen Ali The Movie.
Sebab paling utama? Adalah kerana
betapa berat elemen yang dibawa dalam cerita ini, disampaikan dengan cara yang sangat mengesani hati aku. Isu keibubapaan, altruism, ‘niat tak menghalalkan cara’, betapa keyakinan kendiri berkait rapat dengan penerimaan seseorang dalam sesebuah komuniti, kepercayaan moral tentang apa yang baik & apa yang buruk, apa yang betul & apa yang salah.
Aku pun baru sedar, bahawa inilah gaya pembawaan cerita Ejen Ali selama ini. BoBoiBoy membawakan cerita yang santai & animasi yang berkualiti, manakala Ejen Ali membawakan cerita yang temanya lebih serius & dewasa, dengan jalan cerita yang rumit & kompleks. Dan aku memang seorang peminat tegar cerita-cerita begini.
Entah kenapalah aku tak perasan awal-awal dulu. Sebab terlalu teruja dengan BoBoiBoy agaknya. Hahahaha
Maka, dengan ini, aku nak senaraikan 5 isu besar kehidupan yang disentuh oleh Ejen Ali The Movie. Kalau dulu aku rasa
pengajaran daripada BoBoiBoy the Movie 2 sudah cukup sarat, pengajaran kali ini agaknya sepuluh kali lebih sarat.
Amaran; banyak spoiler akan diberikan. Spoiler cerita, spoiler musim-musim sebelum ni, hatta spoiler post-credit scene!
Isu pertama:
Pandangan seorang budak berumur 12 tahun terhadap dunia.
Bagi aku, Ejen Ali The Movie berjaya membawa kita masuk ke dalam kepala & pemikiran seorang budak berumur 12 tahun dengan berkesan sekali; seseorang yang sudah melepasi tahap kanak-kanak, yang hendak memasuki tahap remaja. Pada waktu ini, banyak transisi kematangan pemikiran akan berubah. Tapi, berdasarkan apa yang aku belajar sebagai seseorang yang mempelajari psikologi kanak-kanak, ada 2 aspek yang menonjol pada aku dalam filem ini.
Aspek pertama ialah
transisi pemikiran daripada konkrit ke abstrak. Pada masa ini, kita mula sedar bahawa hidup ini bukan hitam atau putih. Aspek manakah yang begitu? Kita pun tidak pasti, tetapi kita mula tahu & yakin, dan aspek-aspek tersebut, kita akan mula mendapatkannya seiring dengan masa berlalu.
“Tolong orang? Dengan mencuri?”
Jelas bahawa Ali tersentak apabila Alicia bertanyakan soalan ini. Dia mahu menolong orang di Pinggiran, dengan mencuri? Dia tahu ada yang salah di situ, tetapi ada juga yang betulnya. Dan, tak ada satu di antaranya yang merupakan jawapan yang ‘betul’.
Itulah maksudnya hidup bukan hitam & putih.
“Kan kau yang suruh aku tolong tadi?”
“Tapi saya tak suruh…”
Ali telah melakukan satu kesalahan yang besar di sisi MATA dengan merompak senjata-senjata Vikram bersama-sama Niki, dan apa yang dia mahukan hanyalah untuk tidak ditangkap oleh MATA. Namun, Niki menolongnya dengan cara untuk menghapuskan mereka. Ini membuatkan Ali bengang & marah. Memang dia tidak mahu ditangkap, namun dia juga tidak mahu orang lain terkorban hanya semata-mata supaya dia tidak ditangkap.
Aspek kedua, datang daripada teori Erik Erikson, di mana apabila seseorang mula meningkat remaja, dia akan mula mencari ideniti diri; dan selagi tidak ditemui, dia akan keliru mengenai dirinya sendiri (peringkat
Identity vs Confusion). Dan, betul-betul sebelum peringkat ini, dia melalui peringkat
Industry vs Inferiority, di mana dia akan berusaha memantapkan skilnya dalam hal-hal yang dia kuasai; jika tidak dia akan merasa rendah diri.
Paling aku suka apabila Ejen Ali The Movie menggabungkan kedua-dua peringkat ini serentak dalam diri Ali, di mana Ali mencari identitinya di tempat yang dia yakin dengan dirinya. Ali memang dah lama tahu dia bukanlah antara ejen yang bagus, dengan kemahirannya yang sangat kurang memuaskan & perangainya yang selalu tak ikut arahan. Aku pun selalu geram dengan Ali sebab benda ni.
Tetapi, semangat menolong orang pada Aliya memang menurun betul pada Ali. Sebab itu, daripada siri lagi, walaupun kemampuan Ali sangat rendah, dia sentiasa cuba meningkatkan diri, & cuba berjuang setiap kali tempatnya di MATA terancam & dia berpotensi untuk dibuang.
Tapi jujurlah, kalau kemampuan kau setakat cukup makan sahaja di sebuah organisasi, & kau terpaksa memperjuangkan sendiri kedudukan kau,
tak ke kau penat?
Tak hairanlah apabila Ali berjumpa & dapat berjasa kepada orang di Pinggiran, terus dia tidak mahu lagi ke MATA & berkhidmat sebagai ejen. Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat penghargaan secara terus daripada mereka, daripada MATA yang hanya mengenakan mata sinis & skeptik sahaja pada dia.
“Maaf, saya dah jumpa orang yang lagi perlukan saya.”
Tetapi, di klimaks cerita, betapa kecewanya Ali apabila dia sedar bahawa dia berpaling daripada MATA yang sememangnya menolong orang itu, untuk menyokong Niki yang akhirnya menggunakannya untuk kepentingan peribadi sahaja. Tidak tergambar betapa luluh hatinya apabila Ali mengetahui dia selama ini mengukuhkan status Niki, yang di mana matlamat utamanya ialah untuk menghapuskan orang penting Cyberaya. Itu bukan menolong orang, bahkan memburukkan lagi keadaan.
Tidak ada benda lain yang Ali mahukan, melainkan hanya untuk berkhidmat & menolong orang, lebih-lebih lagi lepas dia tahu ibunya juga berperangai sedemikian, baik sebelum mahupun selepas menjadi ejen.
“Saya ingatkan, saya dapat jadi macam mama.”
Itulah identiti dirinya yang ingin dibawa olehnya.
Isu kedua:
Victim mentality
Adakah apa yang Niki buat betul atau salah? Merancang pembunuhan orang penting Cyberaya untuk membela nasib orang Pinggiran?
Mestilah salah, kan?
Tapi, kalau aku di tempat Niki, ditindas sejak kecil sehingga ke tahap nyawa ibubapa terkorban, hidup hari-hari kais pagi makan mungkin hanya di petang, mereka yang ditindas semakin lemah & yang menindas semakin hari semakin mekar, bebas tanpa pembelaan,
barangkali aku juga akan mengambil tindakan yang sama.
“Cyberaya tak tahu ke masalah tempat ni?”
“Mereka tak kisah, Ali…”
Penindasan yang begitu lama membuatkan Niki hilang kepercayaan kepada orang lain selain orang Pinggiran. Tiada siapa yang dapat mengubah nasibnya selain orang Pinggiran juga, kerana tiada yang lain yang kisah akan mereka.
Dan semuanya akan berubah apabila ‘kepala’ Cyberaya tiada; maka reformasi Cyberaya daripada bawah semula akan memberi peluang kepada orang Pinggiran untuk bangkit.
Rancangan yang sangat logik.
Kerana kesempitan hidup yang sekian lama, kepercayaan yang dia bina membuatkan Niki tutup mata dengan moraliti mengenai nyawa manusia, & kebenaran yang mutlak bahawa nyawa manusia itu berharga seperti nyawanya sendiri juga, dan dia tidak seharusnya membunuh seseorang sama seperti dia tidak mahu dibunuh, tanpa mengira apa yang dilakukan oleh manusia yang lain itu.
Kisah Niki yang ini bukan fiksyen semata-mata. Bukalah mata, & lihat kepada perang-perang yang berlaku keliling dunia sekarang, yang berlarutan setelah sekian lama. Lihat kanak-kanak yang membesar & tersepit dalam pergelutan tersebut. Tidak mustahil mereka juga akan membesar dengan kepercayaan yang terpesong setelah sekian lama sengsara, yang akhirnya menyebabkan mereka buta daripada kebenaran mutlak.
Palestin contohnya, sudah hampir 70 tahun sengsara. Fikirkanlah, betapa lama mereka berdarah, & apa agaknya yang ada dalam kepala mereka yang membesar dengan kemelut tersebut. Barangkali hanya kerana agama & saki baki moraliti yang ada, yang masih utuh membuatkan mereka tidak bertindak di luar kawalan.
Jujur, kisah hidup Niki yang jauh tetapi dekat di realiti ini, menyentuh hati aku. Benar, apa yang Niki buat itu salah, dan kita agak bertuah kerana kita boleh nampak & nyatakan perkara itu dengan senangnya.
Namun, filem ini, membawa kita dengan lebih dekat, & membuatkan kita memahami betapa susahnya hidup orang yang susah, dan berapa kesusahan ini mempengeruhi segenap aspek kehidupan seseorang, terutamanya mentalitinya.
Isu ketiga:
“Kita jaga kita”
“Kau kata nak jaga orang kita, tapi kau yang hancurkan semuanya.”
Aku mula-mula agak keliru dengan dialog Ali yang ini. Aku fikir
‘Yelah, dia memang kata nak jaga orang Pinggiran, yang dia nak hancurkan ni orang Cyberaya.’
Tapi kemudian baru aku faham. Ianya tentang apakah definisi
kita oleh Niki, Ali & Aliya juga.
Aliya memang semangatnya mahu menolong orang. Maka, apabila dia berjumpa dengan Niki & orang Pinggiran, semakin membuak semangatnya & semakin banyak yang dia boleh sumbangkan.
Namun, peluang yang sebenar datang apabila Ejen Dayang sendiri melamarnya untuk menjadi ejen MATA. Peluangnya untuk menolong komuniti dengan lebih meluas, dengan lebih berkesan, datang bergolek di hadapannya. Satu kesempatan yang dia takkan lepaskan.
Namun, bukan itu yang Niki lihat. Niki lihat Aliya sebagai satu pertolongan yang datang bergolek terhadap orang Pinggiran. Dia gembira dengan Aliya, & dia percayakan Aliya. Tetapi, Aliya belot apabila berpaling kepada Cyberaya. Segala kepercayaannya dihancurkan begitu sahaja.
“Kenapa kau tak sedar-sedar lagi, Niki? Cara kau salah.”
“Habis tu, apa yang betul? Jadi pembelot macam kau?”
Kita yang Niki nampak hanyalah orang Pinggiran sahaja. Sesiapa selain orang Pinggiran ialah musuh. Sesiapa yang masuk kemudian keluar ialah pembelot.
Namun,
kita yang Aliya pandang ialah satu komuniti yang besar & luas, termasuk orang Pinggiran juga. Sebab itulah Ali bercakap sedemikian;
apakah Niki hanya memandang orang selain orang Pinggiran hanya sebagai musuh, dan bukan sebahagian daripada satu komuniti, yang perlu dijaga & ditolong juga?
Niki mahu menolong orang Pinggiran. Aliya juga. Tapi bukan setakat orang Pinggiran, malah semua.
Tapi bukan dengan mencuri & merompak lagi, malah dengan berkhidmat dengan mengoptimumkan kemahirannya dalam bidang teknologi untuk menolong dengan lebih menyeluruh.
Barangkali sebab itu Bakar tidak pernah tahu tentang Niki, kerana Aliya sendiri tidak ingin mendedahkan Bakar kepada cara menolong orang yang kurang efisyen & menentang moraliti.
Dan barangkali sebab itu jugalah Aliya amat bersemangat bercerita tentang MATA kepada Bakar & beriya-iya mahu Bakar jadi ejen; kerana itulah cara bagaimana dia boleh monolong orang dengan efisyen & boleh fokus untuk menyumbang tenaga daripada asyik menyalahkan orang lain (yang di mana tetap tidak sama sekali menjustifikasikan kesalahan yang seseorang lakukan).
“Kalau bukan kita, siapa lagi?”
Isu keempat:
Aspek kemanusiaan dalam kemajuan & kecekapan
“Kekuatan bukan terletak pada gajet, tetapi kepada siapa yang memakainya.”
Kalau tanpa filem ini pun, aku rasa kita semua boleh faham ayat ini; seseorang perlu pandai menggunakan gajet & menggunakannya ke arah kebaikan.
Tetapi aku nak pergi lagi dalam sikit.
Apabila aku dengar dialog ni, aku terbayang masa Zain mahu kekal dengan Ali sebagai pemakai IRIS, walaupun dengan kemahiran & perangainya itu, walaupun Ketua Teras yang lain tidak setuju. Betapa dia sanggup curi-curi masuk akademi hanya semata-mata untuk berjumpa dengan Ali.
Kenapa? Kenapa susah-susah?
Barangkali, kerana Ali ‘berani menjadi manusia’ di tengah-tengah sebuah institusi yang amat mementingkan kemajuan & kecekapan, dan tidak bertoleransi terhadap apa-apa kesilapan.
Betapa Ali berani mengingkari arahan misi, untuk dia kejar perkara yang dia percaya jauh lebih penting untuknya.
Betapa Ali sanggup pergi selamatkan Comot tanpa IRIS, dengan risiko besar untuk ditangkap & dikalahkan, walaupun Comot hanya seekor kucing. Ejen lain pasti akan mengutamakan Abang Bear masa tu.
Betapa Ali sanggup mengabaikan Protokol Gegas & menyelamatkan Alicia. Ejen lain pasti akan mengutamakan arahan ketuanya, walaupun itu bermakna mengorbankan ahli pasukan yang lain.
Betapa Ali masih percaya bahawa pengintip musuh bukan Bakar, bukanlah semata-mata kerana Bakar ahli keluarganya, tetapi kerana dia tahu siapa Bakar sebenarnya, walaupun bukti video jelas depan mata (Bakar sendiri pun putus asa membela diri sendiri!).
Kesemua tindakan Ali ini, walaupun salah, namun tidak semestinya melambangkan kelemahan.
Bahkan, hal ini merupakan satu kekuatan.
Maka, barangkali sebab itu Zain tetap mempercayai Ali untuk memegang IRIS; kerana dia nampak kelebihan Ali yang satu ini yang tiada pada ejen lain, dan yang ejen lain tidak nampak. Malah, barangkali Ejen Dayang juga sudah nampak perkara ini, lantas mengamanahkannya untuk Projek Satria.
Aku pun suka dengan kata-kata Ejen Ganz pada akhirnya,
“Aku harap kau tahu apa yang kau buat.”
Seperti yang aku katakan tadi, kemanusiaan itu merupakan satu kekuatan yang kebanyakan kita pandang enteng. Padankan dengan penggunaan gajet, seseorang itu bukan sahaja boleh mencapai kemajuan, bahkan ketenangan & keamanan.
Namun, realiti itu amat rumit; peribadi & berbeza untuk setiap individu. Maka, melalui dialog tersebut, Ejen Ganz menyampaikan bahawa dia mungkin tidak bersependapat dengan Ejen Dayang, namun dia tetap menghormati keputusannya & menyerahkan tanggungjawab & autoriti kepadanya.
Buktinya ialah Dato Othman sebagai kontra; sangat mementingkan kecekapan & kemajuan, tanpa menghiraukan faktor kemanusiaan. Dan Ejen Ali The Movie berjaya memaparkan bahawa betapa perkara ini tidak semestinya merupakan satu kekuatan.
Laburkan apa sahaja, asalkan kemajuan (material) tercapai.
Segala benda kalau boleh selesaikan cepat, cepat selesaikan.
Tidak perlu ambil masa berehat, itu hanya melambatkan kerja sahaja.
Kalau ada orang-orang yang menghalang pembinaan kemajuan, halau sahaja.
Kalau orang bawahan tidak boleh buat kerja, gantikan sahaja.
Hatta apabila dia mengetahui bahawa yang menyerangnya ialah orang kanannya sendiri, tiada langsung ekspresi terkejut atau sedih. Malah, yang dia geramkan ialah,
“Kenapa tak bagitahu saya awal-awal?”
Isu kelima:
Menebus kesilapan
Tidak dinafikan lagi bahawa Ali memang banyak buat silap. Dan memang silap terbesarnya setakat ini ialah apa yang telah dia lakukan dalam filem ini.
Dan sememangnya, apabila kita telah melakukan satu kesilapan besar, sama ada tidak sengaja apatah lagi sengaja, selepas rasa bersalah, rasa malu itu akan menghantui diri, membawa kita kepada kemurungan & putus harapan. Kesemua perasaan tersebut ialah normal untuk mana-mana manusia.
Namun, setelah melalui semua itu, kita semua harus bangkit semula. Dan ya, memang sukar sekali rasanya untuk bangkit semula setelah semua itu.
Maka, di sini datangnya peranan rasa syukur, muhasabah & berfikiran positif.
“Boleh tak kau jangan mengada-ngada sangat? Bukan kau sorang je yang tak ada mak. Sekurang-kurangnya ayah kau masih ada. Aku dua-dua dah tak ada!”
“Aku bersyukur Jeneral sudi besarkan aku macam anak sendiri. MATA je keluarga yang aku ada. Dan aku, takkan hampakan mereka.”
Nah, cantik sungguh ayat Alicia dalam memujuk Ali.
Dan akhirnya, setelah semuanya selesai, Ali tidak dibenarkan lagi menggunakan IRIS, sebagai hukuman terhadap kesilapannya. Hal ini mengajar kita untuk kekal berani berhadapan dengan pengadilan & bertanggungjawab terhadap kesilapan kita, dan walaupun mungkin apa yang kita buat untuk menebus kesilapan kita tidak cukup, itu bukan alasan untuk tidak melakukannya langsung.
Aku pun suka pengakhiran Niki di sini. Tidak seperti kebanyakan cerita yang antagonisnya mati atau menghilangkan diri sebagai pengakhiran, Ejen Ali berakhir dengan Niki akhirnya menyedari bahawa apa yang dilakukannya ialah salah. Lalu sama seperti Ali, dia pun putus asa, dengan kehidupan & dengan diri sendiri.
“Buat apa sambung hidup kalau dah jadi macam ni?”
“Semua orang berhak mendapat peluang kedua.”
Dan barangkali sama seperti Ali juga, dia akan dihadapkan ke muka pengadilan & menerima hukuman yang selayaknya. Tetapi selagi Niki terus sedar akan kesilapannya & cuba menebus semana yang boleh, itulah yang paling baik.
Nah, panjang lebar sudah aku berbicara. Baiklah aku tutup dengan rumusan isu-isu ini:
- Pandangan seorang budak berumur 12 tahun terhadap dunia.
- Victim mentality
- “Kita jaga kita”
- Aspek kemanusiaan dalam kemajuan & kecekapan
- Menebus kesilapan
Sekian, terima kasih.
p/s: BUKAN DOS DAH MATI KE WEH???
Ridzwan aku leh terima lagi, sebab dia mungkin lari. Lepas Uno dah ada depan mainframe, mana dia fikir benda lain lagi. Ejen Geetha sendiri yang cakap Ridzwan tak dapat dikesan.
Tapi yang lain obviously ada dekat akademi masa satelit tu tembak akademi doh…
Bukan ke???
WAU! Penulisan yg sangat baik! Tahniah.
ReplyDeleteTerima kasih! 😊
Delete