Hari ni… hari ni… hm… entahlah. Tak adalah yang macam menyerlah hari ni. Aku pun tak tahu nak tulis apa hari ni, hahaha…
Pada zaman dulu-dulu, kita panggil diari. Masuk abad ke dua puluh satu ni, panggilnya jurnal pula. Sekarang siap diajar lagi, macam mana nak jurnal. Ada yang ajar melukislah, menulis senarailah, senarai semak, peta minda, dan macam-macam lagi.
Ke mana perginya kebebasan dalam diari? Senang cerita, diari ialah buku yang apa-apa kau coretkan dalamnya takkan ditunjuk kepada sesiapa. Itu sahaja kan? Lantas, apa-apa sahaja yang kau mahu coretkan, terpulang sahaja pada kau kan?
Siapalah agaknya gerangan manusia yang datang dan mengajar manusia yang lainnya bagaimana untuk menulis diari? Bukanlah aku marah, cuma tertanya-tanya!
Hmm… terfikir pula siapa yang mencipta konsep diari ni. Sekarang dah ada gerakan yang orang putih panggil ‘journalling’. Katanya bagus untuk kesihatan mental. Hmm… pandai betul orang putih mengambil apa yang sudah sedia ada pada orang lain dan menjenamakan semula sebagai produk mereka. Ciptaan, inovasi, literatur, bahkan ketamadunan!
Hmm… sekurang-kurangnya itulah pendapat dan perasaan aku pada ketika ini. Ini diari kan? Tak perlu ditunjuk kepada sesiapa.
Begitulah aku menulis dalam ‘so called journal’. Aku tulis sahaja apa yang ada di kepala. Tulis, tulis & tulis. Terutamanya pada petang Jumaat seperti ini. Memang aku sengaja mengosongkan waktu selepas Asarku untuk sekadar duduk dan menulis di taman di tengah-tengah asrama ini. Rumput dan tanaman hijau yang mengelilingi, desiran air kolam ikan koi; semua hidupan ini ialah hasil satu asrama juga yang menjaganya. Berkat agaknya, sebab aku selalu rasa tenang di sini, setiap kali aku datang ke sini pada petang Jumaat. Senang untuk menulis dan melepaskan segala apa di minda dan hati. Sebab itulah aku selalu tanya; diari tak perlu tunjuk pada sesiapa kan? Bukan untuk mencoret yang buruk-buruk sesuka hati, namun hanya untuk meluah, agar segala benda yang negatif dan menganggu boleh ditinggalkan hanya di atas kertas, bukan dibiar di dalam hati.
“Suri!”
Karina.
Belakang aku.
Senyumku melirik. Sahutannya sengaja aku biar tak berjawab. Tangan aku terus menulis.
Apa lagi dia nak ni…
Senyap.
Eh, pelik. Kebiasaannya Karina akan terus melolong sehingga aku menjawab. Kadang-kadang sengaja dia melaung dengan nada yang menjengkelkan, kadang-kadang sengaja dia buat nada comel, yang sebenarnya turut menjengkelkan. Kadang-kadang tak melaung pun, tahu-tahu aku angkat kepala selepas menulis, nah terpacul dia duduk di hadapan aku. Ada pernah satu hari, dia–
“SURIII!!!!”
“Woi!”
Das! Tulang buku diari yang keras itu bertemu bahu Karina.
“Aduh!”
Bertuah punya budak, dia nak sergah aku rupanya. Tak ada niat aku pula mahu menyakiti dia. Dia pun selalu ejek aku, semut pun aku selalu elak memijak. Tapi kerana terkejut, respons ‘lawan atau lari’ membuatkan tangan aku memukulnya secara spontan. Nah, rasakan.
“Siapa ajar kau main sergah-sergah orang ni ha?” aku separuh menjerit memarahi, masih terkejut.
Dia pula seperti biasa, terus duduk tanpa dijemput. Walaupun mukanya masih mengerang kesakitan, Karina bertanya kembali, “Kau tengah buat apa?”
Jelas dia tidak mahu bertanggungjawab ke atas sergahannya. Aku sekadar menggeleng kepala perlahan. Aku pun malas mahu memanjangkan cerita.
“Kau tanya macam kau tak tahu rutin aku. Aku tengah menulislah, apa lagi?”
“Pasal apa?”
“Pasal…” aku lihat balik mukasurat tadi.
Apa lagi dia nak ni…
“Pasal apalah agaknya kau nak kacau aku lagi petang ni.”
“Eee yakah? Mari sini aku tengok!” tangan Karina bingkas mencapai.
Aku terus mengangkat tangan setinggi-tingginya, jauh daripada capaiannya. Bukan sekali dua dia meminta, dan bukan sekali dua juga aku menolak. Dan bukan sebab dia.
Dialah pelajar pertama yang aku jumpa apabila aku menjejak kaki ke sekolah ini. Dialah orang pertama yang menjadi kawan aku di sini. Sampai waktu akhir tahun ini, maka akan genaplah lima tahun kami bersahabat baik di sini. Kalau ada orang dalam sekolah ini yang layak melihat diari aku, dialah orangnya.
Tetapi prinsip aku sama; diari tidak boleh ditunjuk kepada orang lain. Tak kisahlah kalau betul tiada apa-apa pun yang mahu ditengok pun. Kerana itu ialah diari, maka itulah prinsip sebuah diari.
Maka, bukan sekali dua juga aku bergusti dengan dia, cuba menghalang dia daripada membaca diari aku. Hai, entahlah, makin hari, makin kuat pula dia mengasak.
Sudahlah kebelakangan ini dia asyik menganggu petang Jumaat aku. Tidak, bukanlah aku tidak suka, tetapi banyak kali juga aku tekankan itulah waktu bersendirian aku. Dan selama ini dia pun tidak pernah, dan tidak ada keperluan pun, untuk bersua dengan aku pada waktu itu, kerana dia lebih suka menghabiskan masa bersantaian di dalam bilik.
Sepuluh saat kemudian, dia menyerah. “Kedekut!”
Aku hanya tersengih. Tanganku diturunkan semula.
“Bukan selama-lamanya kau boleh simpan rahsia kau, Suri!”
“Tak ada rahsia apa-apa pun, kau pun tahu kan aku memang tegas bab diari ni.”
Karina mencebik. Itulah antara drama yang dia cuba cetuskan; gagal rampas diari, lalu merajuk.
Tapi… entahlah. Perasaan aku sahaja agaknya, tetapi cebikkannya lain macam hari ini. Macam aku cakap tadi juga, gustinya makin hari makin luar biasa. Jumaat petangku makin hari makin tidak tenteram.
Pasti ada sesuatu yang menganggu fikirannya.
Itulah sebenarnya telahan aku, daripada beberapa minggu lepas lagi. Tapi, kalau betul telahan aku, pasti awal-awal dia sudah beritahu aku. Seperti yang aku tegaskan, kami memang jenis tiada rahsia. Yang dalam diari tu pun, ada yang aku cerita juga pada dia. Cuma dia tidak pernah nampak sahaja. Nak tanya, takut pula. Kalau betul, takut dia terasa. Kalau salah, pelik pula jadinya.
Tapi itulah, teringin sahaja aku mahu bertanya…
“Kau… ok ke tak ni?”
Ah.
Ah, sudah.
Itulah satu masalah aku, dan antara sebab mengapa aku mula dan kekal dengan rutin menulis diari ini; selalu aku main cakap sahaja apa yang berada di fikiran tanpa aku sedar. Pernah sekali, selepas aku dihukum dan dimarahi oleh Cikgu Munah atas kerja rumah yang tidak siap, secara tidak sengaja aku menggumam ‘Cikgu Munah jangan marah-marah, tak elok untuk kandungan dalam perut.’
Ya Allah, dia tak mengandung pun sebenarnya!
Jadi Alhamdulillah, memang ada peningkatan sejak mula menulis diari. Aku dah tak selalu begitu lagi. Cuma kadang-kadang terlepas jua, seperti waktu ini.
Karina hanya membuang pandangannya ke kolam ikan koi. Susah untuk meneka apa yang ada di hatinya. Adakah dia sedang mengenang saat sedih apabila seekor ikan yang dia sayang, yang dia panggil Oren itu, meninggal dunia? Atau adakah desiran kolam tersebut membuatkan dia melayan fikiran ke tempat lain?
“Suri… kenapa kehidupan itu, sungguh tidak terjangka?”
Aku terkejut. Petang-petang Jumaat ni tiba-tiba deep, itu satu hal. Tetapi, dapat aku rasakan kesakitan pada pertanyaannya itu. Apa sebenarnya yang dia sedang lalui?
“Karina… kenapa kau menjangkakan bahawa hidup itu boleh dijangka?”
Karina berpaling. Dengan wajah yang keliru, dan tidak berpuas hati.
“Siapa yang memberi kau jaminan bahawa kehidupan ini boleh dijangka, Karina?”
“Maksudnya?”
“Siapa yang memberi kau jaminan, selepas kau lahir, kau akan dijaga dengan baik? Siapa yang memberi kau jaminan, kau akan dibesarkan dalam keluarga Muslim, yang baik? Dan kau akan bersekolah, berilmu pengetahuan & melalui kehidupan?”
Karina diam.
“Itu satu perspektif. Perspektif kedua, cuba kau fikirkan, berapa kebarangkalian sesuatu yang paling buruk akan berlaku pada kau. Kemudian, cuba kau fikirkan pula, berapa kebarangkalian sesuatu yang paling baik akan berlaku pada kau. Sama sahaja kebarangkaliannya, kan? Maksudnya, walaupun kau mungkin perasan banyak benda buruk berlaku pada kau yang tidak kau jangka, hakikatnya pada masa yang sama ada juga banyak benda baik berlaku pada kau yang tidak kau jangka.”
Muka Karina berubah. Aku tahu riak wajah itu. Dia sedang berfikir.
“Hidup ini macam roda, kejap di atas, kejap di bawah. Sebabnya, kita di atas dunia ini pun untuk Tuhan menguji. Kau di bawah atau di atas, dua-dua ujian juga. Hikmahnya, apabila kau di atas, kau belajar untuk enjoy dan rasa pelbagai perasaan positif. Apabila kau di bawah, kau belajar untuk sabar dan menahan perasaan negatif. Dua-dua itu pemberian Tuhan, Karina.”
“Betul juga. Macam hadis Nabi tu, setiap urusan orang Mukmin itu baik. Kalau dia di atas lalu dia bersyukur, itu kebaikan. Kalau dia di atas lalu dia bersabar, itu kebaikan juga (Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999).”
Pandai dia gabung hadis Nabi dengan metafora aku.
Aku merangkul mesra bahunya “Dahlah tu, kau acah deep petang-petang Jumaat ni, apehal?’
“Hahahaha, tak ada apalah. Saja nak dengar apa jawapan kau, kau kan suka bercakap bab-bab begini.”
Tawa palsu. Alasan. Walaupun bab aku suka bercakap tu betul.
Karina bangun dari duduknya.
“Jomlah gerak pergi dewan makan, dah nak dekat pukul 5.30.”
Aku akur. Segala peralatan menulis dikemaskan. Menu hari ini ialah nasi ayam. Mana boleh terlepas!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
3 pagi
Penghuni A31 sudah lama berlayar di alam mimpi. Ya, kesemuanya. Kebiasaannya ada sahaja yang berjaga malam untuk belajar, bertemankan lampu malam dan kadang-kadang bulan.
Eh, kejap. Bukan semua.
Masih ada seseorang yang masih berjaga lagi.
Dia yang tidur di bahagian atas katil dua tingkat itu, sedang merenung kea rah siling. Lebih tepat lagi, ke arah kipas siling. Kipas itu berpusing mengikut lawan jam dengan kelajuan yang tetap. Tenung sampai tahap tembus pun takkan berlaku apa-apa perubahan.
Jadi kenapa dia termenung?
“Cik, kami minta maaf. Kami pun tak sangka. Sudah 3 tahun cik bebas kanser. Tetapi entah bagaimana, kali ini kanser tersebut datang kembali. Bahkan kami jangka kali ini dia akan semakin teruk. Dalam masa beberapa minggu lagi mungkin cik sudah tidak akan dapat ke sekolah seperti biasa lagi. Kita bersedia sajalah untuk perancangan Tuhan yang sebaik-baik perancang.”
Kata-kata Doktor Ruvina masih terngiang-ngiang di kepala. Mana taknya, betul-betul sebelum dia menjejakkan kaki ke sekolah daripada balik wajib, destinasinya ialah hospital yang dia kunjungi saban tahun itu. 2 tahun melawan, 3 tahun follow up. Dan 3 tahun itu memang sudah tiada apa-apa lagi. Malah, lagi beberapa bulan sahaja yang tinggal sebelum dia sudah tidak perlukan lagi follow up.
;Dia menutup mata. Sengaja, mahu mengalirkan air mata ke pipi.
Kata-kata baru pula terngiang-ngiang, kata-kata daripada petang tadi.
“Kenapa kehidupan itu, sungguh tidak terjangka…”
Tidak mampu dia tahan lagi. Dia mula menangis teresak-esak. Berseorangan.
Suka dengan penulisan awak, teruskan menulis. Tulis, lagi dan lagi.
ReplyDeleteTerima kasih banyak2 sudi membaca ❤
Delete