Apa yang Aku Mahu Sebenarnya
Apakah dalam hidup ini kita perlu mengejar segala perkara yang kita mampu?
Atau cukupkah hidup ini sekadar mengambil keperluan asas agar kekal bernafas?
Bagi aku, aku mahu hidup cukup-cukup sahaja.
Jika yang datang padaku itu kurang, aku akan berusaha untuk mencukupkannya.
Jika yang datang padaku itu lebih, aku akan ambil apa yang perlu dan manfaatkan lebihannya.
Apabila terlunas kecukupanku, barulah aku boleh fokus untuk memperbaiki diriku.
Aku tak perlukan kemewahan harta benda. Namun aku juga tidak mahu hidup dalam kedaifan.
Aku hanya mahukan harta yang dapat memenuhi keperluanku, sehingga pencarian harta itu bukanlah perkara yang asyik bermain di fikiranku.
Aku hanya mahukan harta yang dapat memenuhi keperluanku, sehingga aku boleh fokus untuk tujuan penciptaanku yang utama; ibadah kepada Tuhanku.
Jika hartaku kurang, aku akan berusaha sehingga pencarian hartaku tidak mengganggu ibadahku.
Jika hartaku lebih, aku akan memanfaatkan lebihannya untuk beribadah kepada Tuhanku.
Aku tak perlukan kasih sayang semua orang, atau kasih sayang berlebihan daripada mana-mana pihak. Namun aku juga tidak dapat hidup dengan sempurna tanpa kasih sayang.
Cukuplah kasih sayang yang memadai, supaya aku tahu dan rasa dihargai, cukuplah kasih sayang yang memenuhi naluri dan keperluan emosiku.
Jika kasih sayang yang aku terima itu kurang, aku tahu Tuhan menyayangiku lebih daripada apa yang aku tahu, dan aku akan gunakannya sebagai motivasi untuk mempertingkatkan hubunganku dengan orang lain.
Jika kasih sayang yang aku terima itu lebih, akan aku gunakan pengaruhku untuk mengajak mereka yang menyayangiku itu melakukan perkara yang baik dan mencari kebenaran.
Aku tak perlukan badan secergas atlet. Namun aku semestinya tidak mahu sakit dan penyakit sepanjang masa.
Cukuplah sekadar aku mampu bergerak dan melunaskan tanggungjawab, cukuplah aku tidak menyusahkan dan bergantung kepada sesiapa.
Jika kesihatan aku tahapnya rendah, aku akan berusaha untuk memperbaiki tahap kesihatanku.
Jika kesihatan aku tahapnya tinggi, tenaga fizikalku akan aku sumbangkan untuk kebaikan.
Apakah aku ini cerewet?
Mana ada. Aku memang percaya kita memang tidak boleh hidup dengan sempurna dengan kurangnya atau terlebihnya sesuatu. Jadi, salahkah untuk aku berharap kepada keadaan yang terbaik, lalu berusaha untuk merealisasikannya?
Yang salah itu ialah mengeluh atas kekurangan mahupun kelebihan yang kita ada, namun kita tidak melakukan apa-apa.
Apabila sempurna kecukupanku, maka aku boleh fokus untuk memperbaiki diriku, supaya menjadi lebih baik.
Walaupun hartaku cukup, barangkali aku akan terfikir cara untuk lebih banyak berbakti & beribadah jika aku menambah hartaku. Maka akan aku usahakan.
Walaupun kasih sayang yang aku terima cukup, barangkali aku akan terfikir cara terbaik untuk mempengaruhi lebih ramai manusia untuk berbuat kebaikan & mencari kebenaran. Maka akan aku usahakan.
Walaupun tahap kesihatanku memuaskan, barangkali aku akan terfikir cara yang lebih baik untuk berbakti jika aku lebih kuat. Maka akan aku usahakan.
Lagipun, tahap kecukupan orang itu berbeza.
Ada yang miskin harta, kaya jiwa.
Ada yang miskin kasih sayang, kaya harta.
Ada yang miskin kesihatan, kaya ilmu.
Ada yang terima banyak, tanggungannya sedikit.
Ada yang terima sikit, tanggungannya banyak.
Ada yang memerlukan keperluan khas yang orang lain tidak perlukan.
Ada pula orang yang tidak memerlukan apa yang hampir semua orang perlu.
Ah, manusia. Bermacam ragam.
Formulanya sama sahaja.
Cukupkan keperluan, perbaiki diri.
Comments
Post a Comment