Moving Out to a New Home! (Virtually) 😃

Image
Here's today's announcement. Alhamdulillah, after working earnestly for months, I finally can announce that I have a website!  kellytelly.com kellytelly.com kellytelly.com So what's up in this website? Aside from being a one-stop center for my portfolio & activities, I have opened my very own online shop! kellytelly.com/shop kellytelly.com/shop kellytelly.com/shop So far, it is full with my preloved books, which brings me to the next announcement; Preloved Books Sale is coming again to you! With even wider range of genres & even more affordable price, this shop as all the books you need. Only click & buy in one browser & one website. A new book would be on sale every day, so keep your eyes out 👀 Susbscribe so that you would be the 1st person to know about new posts & products 👍🏽 For starter, I think this is a good product to lead with. With that being said, stay tuned for more products to come 😏 I'm excited with all the results that come so far,

Kenapa Rakyat Malaysia Tak Suka Debat

Malaysia ini penuh dengan kepelbagaian.
Pendek kata, ada macam-macam benda dekat Malaysia ni.

Orangnya macam-macam.
Tempatnya macam-macam.
Hutannya macam-macam.
Makanannya? Macam-macam!

Kepercayaan? Ya, semestinya pelbagai juga kepercayaan yang rakyat Malaysia anuti.
Tak terhad kepada kepercayaan agama sahaja, malah daripada sekecil-kecil benda sehingga ke sebesar-besar benda, kita percaya tentang perkara yang berbeza-beza.

Dan, seperti yang kita tahu, cara terbaik untuk manusia yang bermacam-macam kepercayaan ini untuk hidup bersama-sama, adalah dengan mencari persamaan antara mereka & hidup berdasarkan persamaan tersebut.
Jadi, disebabkan Malaysia ini terlalu pelbagai dalam pelbagai perkara, maka kita, rakyat Malaysia, akan biasanya cuba sedaya upaya kita untuk mengekalkan keadaan hidup, dalam keadaan harmoni.
Jadi, hasilnya, walaupun pada hakikatnya kita semua ini berbeza-beza, kita akan cuba sedaya upaya untuk kelihatan sama, untuk mengelakkan & meminimakan sebarang konflik.

Maka aktiviti yang mengukuhkan perpaduan, seperti dialog antara agama, banyak diadakan, unuk memastikan bahawa kita bersatu atas persamaan kita.
Hal ini memang hal yang sudah lama berlaku di Malaysia, dan hal ini sangat bagus.

Tetapi, dalam usaha rakyat Malaysia mencari persamaan sesama kita, aku perasan satu perkara yang rakyat Malaysia kurang perasan.

Kita semua mencuba untuk menjadi sama, kerana kita sememangnya berbeza.
Yalah, kalau kita semua sama, kita takkanlah cuba untuk jadi sama. Sebab kita memang dah sama dah pun. (Faham tak apa aku cakap ni?)
Tetapi kita berbeza. Kita nak cuba jadi sama, kerana kita memang dah awal-awal berbeza.
Hal ini bukan disengajakan mahupun diada-adakan. Dah memang begitu.

Tapi, pada masa yang sama, kita sentiasa memperbaharui kepercayaan kita.
Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kepercayaan kita itu ada kemungkinan untuk salah. Maka, dari semasa ke semasa, kita sentiasa memastikan bahawa kita percaya kepada perkara yang benar & menjauhi perkara ynag palsu.

Kerana, hakikatnya, hanya itulah yang kita akan percaya; kebenaran.

Rakyat Malaysia memang selalu mencari persamaan sesama kita, dan ini ialah perkara yang baik. Tapi kadang-kadang kita nak terlalu sama dengan orang, sampaikan kita buat perkara yang bercanggah dengan kepercayaan kita.

Sebenarnya boleh je kita cakap:
"Maaf, aku tak ...."
"Maaf, aku tak percaya..."
"Maaf, menurut kepercayaan aku, aku tak..."

Selain daripada itu, sebagaimana kita memperbanyakkan dialog terbuka, maka sebanyak itu jugalah debat terbuka seharusnya diadakan.
Kerana sebagaimana dialog itu perlu untuk memastikan kita bersatu atas persamaan, maka sama penting jugalah debat dalam mendidik kita tentang apa perkara-perkara yang berbeza, yang kita tak percaya, yang orang lain percaya.

Tapi, berdasarkan pemerhatian aku, rakyat Malaysia tak suka pada perdebatan.

Pertandingan debat di sekolah & universiti hanya bertujuan untuk memupuk keberanian dalam bercakap di khalayak ramai. Aku hanya nampak debat yang sebenar di Malaysia hanya banyak berlaku di dalam dewan parlimen sahaja. Itu pun berapa kerat agaknya rakyat Malaysia yang tengok.

Jadi kenapa? Kenapa rakyat Malaysia tak suka pada perdebatan?

1. Kita tidak dilatih untuk biasa berpegang kepada prinsip & kepercayaan kita.
Mencari persamaan tidak bermakna kita harus mengorbankan kepercayaan kita yang berbeza. Malah, apabila kita dihadapkan dengan situasi yang tidak menyebelahi kepercayaan kita, kita ada hak untuk menarik diri, atau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan kepercayaan kita.
Namun, realitinya, apabila kita berada dalam situasi begini, kita ikut sahaja apa yang orang lain buat.

Contoh, seorang Muslim pakai baju logo arak, kerana rakan-rakannya pakai juga baju tersebut. Kalau tak pakai, nanti dituduh berfikiran tertutup, kolot, tak supporting, dan sebagainya.

Malah, kita sebenarnya sedar yang kita buat perkara ini. Maka perkara ini lebih lagi menambah alergi kita kepada perdebatan, walaupun jika perdebatan itu sangat perlu.

Debat ni ada macam-macam jenis juga.
Ada yang terbuka, ada yang tertutup.
Ada yang sekejap sahaja, dalam 45 minit begitu. Dan ada juga yang boleh sampai berhari-hari bahkan berminggu-minggu.
Ada penganjur debat yang berniat baik, untuk mendidik masyarakat. Apa pula penganjur yang menganjurkan debat dengan agenda peribadi yang tersendiri.

Cara kita mengadakan debat itu sendiri pun perlu sesuai dengan realiti masyarakat Malaysia. Keamanan tetap keutamaan kita. Aku bukannya suruh kita sengaja bukak cerita sensitif tengah-tengah orang ramai, yang boleh menyebabkan provokasi dan mungkin juga rusuhan.

2. Kita takut salah
Terutamanya dalam kepercayaan-kepercayaan utama dalam hidup kita.
Hal ini berkait rapat dengan ego, namun kebanyakannya adalah lebih kepada mekanisma kemandirian (survival) diri kita. Hal ini ada dalam naluri kita, bahkan hal ini membantu juga kita dalam banyak perkara.

Hanya satu benda ni je yang dia tak tolong kita; mencari & mengakui kesalahan diri kita.

Maka, itulah dia sebab-sebab kenapa rakyat Malaysia tidak suka pada perdebatan.
Izinkan aku untuk membidas kedua-dua sebab ini.

1. Ikut orang pun okey, tak ikut orang pun okey.
Contoh, katakanlah ada majlis agama Hindu yang diadakan berdekatan rumah anda. Secara umumnya, jika anda bukan beragama Islam, setahu saya tiada halangan untuk anda pergi ke majlis tersebut. Terutamanya jika anda dijemput. Malah, hal tersebut akan mendatangkan beberapa faedah kepada anda, seperti mendidik diri tentang kepercayaan yang lain, merapatkan hubungan dengan mereka yang berlainan agama, dan sebagainya.

Namun, jika anda beragama Islam, anda harus ingat yang Islam melarang penganutnya untuk melibatkan diri dalam ritual agama lain. Jika anda dijemput, maka anda terpaksa menolak jemputan tersebut.

Okey, soalan aku ialah; adakah jika penganut agama Islam tidak pergi ke majlis tersebut, mereka tidak menyokong perpaduan antara agama dan kaum?
Sudah semestinya tidak.

Hakikatnya, jika tiada penganut agama lain di majlis tersebut, majlis tersebut tetap berlangsung macam biasa. Malah, jika mereka yang bukan beragama Islam juga tidak mahu pergi ke majlis tersebut, adalah tidak logik untuk kita menuduh mereka tidak menyokong perpaduan antara agama & kaum. Malah, jika ada juga penganut agama Islam yang ke sana, tidak semestinya juga kita akan melabelnya sebagai aktivis kuat toleransi antara agama.

Faham sudah?

Maksudnya, keengganan anda untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan kepercayaan anda, tidak bermakna anda menentang perpaduan dengan mereka. Selain itu, aktiviti mereka juga akan berjalan tanpa anda. Anda tidak ada peranan penting di situ, kerana hal itu tidak melibatkan kepercayaan anda juga.

2. Kita tidak seharusnya takut untuk memberi justifikasi terhadap perbuatan & kepercayaan kita
Katakanlah kita ambil contoh tadi. Aku tahu ada juga penganut agama Islam yang berpendapat bahawa boleh sahaja sebenarnya kita menghadirkan diri ke majlis agama Hindu tersebut.

Kalaulah aku yang dijemput, dan aku menolak, lalu aku ditanya, “Eh, orang Islam lain dijemput, mereka datang saja?”

Maka aku akan menjawab, “Ya, mereka berpegang pada pendapat bahawa mereka boleh datang. Tetapi saya tidak berpegang pada pendapat tersebut.”

Hanya akan ada dua kemungkinan selepas itu;

a. Perbualan itu berakhir di situ
b. Perbualan itu menjadi satu titik mula kepada sebuah diskusi ilmiah, dan boleh juga sebuah perdebatan ringkas.

Apa yang aku nak cakap ialah, tak dinafikan bahawa kita semua berpegang pada pendapat yang berbeza-beza. Yang penting ialah, kita harus yakin dalam menyatakan pendapat apa yang kita pegang & percaya.

Jika anda dibidas, walaupun oleh hujah yang logik, masih tidak salah untuk anda terus berpegang pada pendapat anda.
Ya, jangan risau. Anda masih boleh berbuat demikian. Tidak, anda bukan bodoh atau sombong, mahupun bodoh sombong.

Mengubah kepercayaan itu bukannya perkara yang mudah. Anda berhak diberi masa dan peluang. Kerana pada hakikatnya, kita tidak boleh memaksa orang untuk percaya pada perkara yang mereka tidak percaya. Percaya itu ialah perbuatan hati kita. Kita tidak akan mampu untuk memaksa hati orang lain mengikut hati kita.

Berbalik kepada contoh tadi, jika ada penganut agama Islam yang lain yang memujuk aku untuk pergi ke majlis tersebut, dengan mendatangkan hujah-hujah dan bukti-bukti, maka aku akan mendengar.

Jika pada saat itu mereka berjaya meyakinkan aku, maka aku akan pergi.
Jika pada saat itu mereka tidak berjaya meyakinkan aku, maka aku tidak akan pergi.
Jika pada saat itu aku sudah habis hujah, dan hujah mereka tampak lebih kuat, maka aku akan kata, “Terima kasih, namun saya masih berpegang pada pendapat asal saya. Saya akan tengok lagi perkara ini, berdasarkan hujah-hujah yang telah anda berikan."

Kerana, walaupun hujah mereka kuat, aku masih tidak percaya pada pendapat mereka. Jadi akan aku katakan hal tersebut, kerana mereka boleh cuba meyakinkan aku, tetapi mereka tidak boleh memaksa aku untuk percaya pada pendapat yang mereka pegang. Mereka tidak boleh paksa hati aku untuk berubah.

3. Kau menang debat, tak semestinya kau benar
Bayangkan ada satu perdebatan antara penganut agama Islam & penganut agama Kristian mengenai poligami.

Selain daripada kandungan perdebatan itu sendiri, ada banyak lagi faktor yang menentukan menang kalah sesuatu perdebatan – kesihatan pendebat, tahap persediaan pendebat, cara penyampaian hujah, akhlak & etika yang diamalkan.
Selain itu, suatu debat itu fokus hanya pada satu tajuk sahaja. Dalam kes ini, poligami.

Jadi, jika penganut agama Kristian yang menang perdebatan tersebut, kita tidak boleh terus buat kesimpulan bahawa Islam agama yang salah. Mereka hanya menang dalam perdebatan itu sahaja. Barangkali kalau pendebatnya lain, tempatnya lain, audiensnya lain, pendebatnya kurang sihat, pendebatnya bercakap kasar, barangkali keputusan yang sama tak dapat diraih.

Selain itu, perdebatan tersebut hanya membicarakan tentang poligami. Adakah agama Islam itu agama poligami sahaja? Banyak lagi aspek agama Islam seperti akidah, falsafah, syariah, kandungan alQuran, kebenaran daripada sudut sains yang perlu diteliti & dipelajari, sebelum kita boleh kata bahawa Islam ialah agama yang salah.

Malah, jika penganut agama Islam yang menang perdebatan tersebut, kita tidak boleh kata juga secara mutlak bahawa Islam agama yang benar, atas faktor-faktor yang sama, yang telah aku sebutkan tadi.

Jadi, walaupun kau menang suatu perdebatan, tak semestinya kau berada di pihak yang benar. Dan walaupun kau kalah dalam suatu perdebatan, tak semestinya kau salah. Yang penting, kau dah berusaha memberi justifikasi yang sahih dan hujah yang kukuh untuk mempertahankan apa yang kau percaya.

Lagipun…

4. Dalam debat, tiada pihak yang menang & tiada pihak yang kalah.
“Aik, baru tadi kau cerita menang kalah debat. Tiba-tiba kau kata tiada yang menang, tiada yang kalah?”

Okey, macam ni.
Kau pernah pergi tengok pertandingan debat?

Apabila mereka umumkan siapa pemenang, mereka tak kata ‘Pasukan A menang’ atau ‘Pasukan B kalah.’
Mereka cuma akan kata; usul diterima atau ditolak.

Maksudnya, sebab paling utama kau berdebat, adalah bukan untuk menang, tetapi untuk mencari kebenaran.

Macam aku cakap awal-awal tadi, kita semua sentiasa memperbaharui kepercayaan kita. Kita nak percaya kepada apa yang benar. Itu sahaja yang kita mahu & kita perlu.

Dalam sesebuah perdebatan, kau percaya satu benda, dan pihak sana percaya benda yang lain, bahkan bertentangan. Dua-dua percaya bahawa apa yang mereka percaya itu benar. Tapi, lagi-lagi kalau kepercayaan tu bertentangan, yang betul mestilah satu sahaja, kan?

Jadi, dalam perdebatan tersebut, masing-masing cuba mempengaruhi, memujuk dan memberi justifikasi bahawa kepercayaan merekalah yang benar. Apabila perdebatan tersebut berakhir, tiada yang menang & tiada yang kalah. Kedua-dua pihak akan beredar. Barangkali kepercayaan kau berubah, barangkali tidak.

Yang pasti, masing-masing lebih tahu & lebih faham tentang kepercayaan yang mereka tidak percaya. Lalu hal ini akan menggalakkan mereka untuk terus menimba ilmu mencari pengetahuan untuk memantapkan kepercayaan mereka masing-masing, sama ada apa yang mereka percaya itu berubah ataupun tidak.

"Kau ni sembang je lebih. Macam-macam syarat pulak ada. Jadi, macam mana sebenarnya kita nak berdebat ni?"

Aku dulu seorang pendebat. Dan sampai sekarang, aku suka menonton perdebatan. Tetapi aku dah tak suka untuk berdebat.
Aku ada cerita dengan lebih terperinci di sini. Tapi, kalau kau mahukan solusi, aku tiada. Yang aku ada, berdasarkan pengalaman & pengamatan aku, cumalah imaginasi aku tentang ‘my ideal debate’.

Katakanlah aku berdebat dengan pihak yang lain, mengenai sebuah perkara yang bertentangan dengan kepercayaan aku.

Aku akan bercakap dengan hujah, ikhlas daripada hati. Setelah habis berhujah, aku akan mendengar dengan teliti apa pihak lawan katakan.
Bukan untuk memanipulasi ayat mereka, bukan untuk mencari ketidaksetujuan, tetapi untuk belajar apa hujah mereka, apa yang mereka fikirkan & apa yang mereka percaya.

Pada masa yang sama, aku akan berfikir bidasan yang bersesuaian & terbaik, berdasarkan keyakinan aku terhadap pengetahuan & pemikiran aku, dan bukannya bidasan kosong semata-mata.
Bukan untuk terus berada di pihak yang menentang, bukan untuk memenangi perdebatan tersebut. Tetapi semata-mata untuk mempertahankan apa yang aku percaya.

Perdebatan tersebut akan diakhiri dengan setiap pihak menyatakan apa yang telah mereka pelajari, dan jika mereka mahu, apa yang mereka percaya akhirnya. Boleh jadi berubah, boleh jadi tidak. Yang penting, kedua-dua pihak tahu bagaimana perdebatan tersebut mempengaruhi pemikiran, sudut pandang & barangkali juga kepercayaan mereka.

Malah, tidak cukup dengan itu, beberapa orang daripada kalangan audiens akan dipilih secara rawak. Mereka juga akan menyatakan pemikiran, sudut pandang & pendapat mereka mengenai topik yang telah dibahaskan. Hal ini juga akan membuatkan para pendebat tahu bagaimana perdebatan tersebut mempengaruhi pemikiran, sudut pandang & barangkali juga kepercayaan para audiens.

Jadi, dengan bersurainya semua orang, mereka akan pulang dengan ilmu tentang suatu yang baru, dan mereka akan berfikir dengan lebih kritikal mengenai topik tersebut.

Tiada yang menang, tiada yang kalah.

Macam yang aku cakap awal tadi, Malaysia ini penuh dengan kepelbagaian. Kepelbagaian dalam kepercayaan pun termasuk juga. Tapi, walaupun kita berbeza pendapat, kita semua dalam satu jalan yang sama; jalan mencari kebenaran. Dan jalan itu terbuka untuk semua orang.
Maka, pertahankanlah kepercayaan anda, jangan takut mendengar bidasan, dan jangan takut untuk berubah fikiran.

Jika anda salah, tak bermakna anda kalah. Malah, anda menang dalam melawan hawa nafsu dalam diri anda, dan anda menang dalam mencabar pemikiran dan kepercayaan anda sendiri.

youtube.com

Comments

Popular posts from this blog

5 Isu Besar Kehidupan yang disentuh oleh Ejen Ali The Movie

5 Pengajaran Berharga daripada BoBoiBoy The Movie 2

Moving Out to a New Home! (Virtually) 😃