Sebagai seseorang yang berasal daripada Semenanjung Malaysia, yang belajar di Timur Malaysia (dah 2 tahun dah pun), aku dapat mengesahkan bahawa sememangnya suasana kehidupan berbilang agama, bangsa & budaya antara kedua-dua kawasan berbeza.
Dan betul, aku rasa secara umumnya suasana di Timur Malaysia lebih baik. Walaupun begitu, aku percaya, dua-dua ada aspek-aspek yang bagus, ada yang kurang bagus juga. Ada aspek-aspek bagus di Semenanjung yang aku rasa baik bawa ke Timur ni, dan ada juga aspek-aspek di Semenanjung yang aku rasa lega tak ada di Timur ni.
Antara satu aspek itu ialah betapa tindakan warga Semenanjung ini sangat terikat dengan sterotaip-sterotaip agama, budaya & kaum. Terutamanya kaum.
“Apa maksudnya ‘terikat’ tu?”
Nak cerita pasal sterotaip ni pun, aku dah cerita panjang
kat sini. Itu isu lain, sekarang aku nak tunjuk apa maksud terikat ni.
Okey, contoh stereotaip yang paling aku biasa dengar ialah Melayu pemalas & Cina pandai meniaga. Maksud aku terikat pada stereotaip itu ialah, apabila ada warga Melayu nak berniaga:
“Alah, kita tak macam Cina, susah nak maju.”
“Orang Cina je monopoli bisnes besar ni.”
Haa… faham tak? Dalam kes ni, ya betul, mungkin memang orang Cina lebih memonopoli perniagaan-perniagaan besar. Tetapi, disebabkan stereotaip itu, orang Melayu yang kalau ikutkan, tak ada masalah pun nak buat bisnes besar, pun dah tak nak buat.
Inilah maksud aku terikat tu.
Tak apa, akan ada lagi contoh lebih jelas di bawah. Tapi aku nak kau faham dulu maksud aku terikat tu.
Berbalik kepada diri aku sendiri, aku pun membesar dengan hal-hal sebegini. Kalau ada apa-apa kes jenayah, antara benda pertama yang orang nak tahu adalah bangsa penjenayah tersebut. Lepas itu, mereka akan mengaitkan maklumat tersebut dengan stereotaip bangsa tu sendiri.
“Itulah Melayu, Islam pun tak nak ikut.”
“Cina memang macam tu, makin dibiar makin naik lemak.”
“Orang India ni memang susah sikit nak percaya.”
Bahkan, bukan setakat pada peringkat tempatan, bahkan pada peringkat bangsa-bangsa yang tidak ada di Malaysia pun, mereka akan cuba buat benda yang sama.
“Itulah, Mat Afrika ni bukannya boleh percaya.”
“Orang putih memang nak tengok kita jatuh.”
“Semua agenda Yahudi, semua agenda Wahhabi.”
Jadi, aku tak dapat mengelak daripada berfikir, kenapa aku tak nampak benda ni di Timur Malaysia? Kenapa benda ni tiada di Timur Malaysia? (Ataupun sangat sikit, sebab yelah, aku tak nampak kan?)
Setelah berfikir, aku jumpa satu kemungkinan. Yang mula-mula aku rasa sangat pelik & rasa macam “Aish… takkanlah…”
Tapi, makin lama aku berfikir, makin aku nampak logiknya.
Apa sebab yang aku jumpa tu?
Sebab ada banyak sangat etnik & kaum di Timur Malaysia!
Itulah, Nampak macam tak ada kaitan kan? Nampak macam bukan kan?
Okey, aku cuba terangkan ya.
Berbeza di Semenanjung Malaysia, di mana 3 kaum utama ialah Melayu, Cina & India, di Sabah & Sarawak terdapat terlalu banyak kaum. Memang ada terdapat 1 kaum yang utama (contohnya kaum Kadazan-dusun di Sabah & kaum Iban di Sarawak), tetapi setelah ditolak kaum utama ini, terdapat pelbagai lagi kaum yang sukar dikenalpasti apatah lagi diingati.
Selain itu, di sini juga, kau kena bezakan perkataan etnik, bangsa & kaum. Tak seperti warga Semenanjung yang menggunakan perkataan tersebut untuk merujuk kepada perkara yang sama, di Timur Malaysia kau kena jelas dengan permintaan kau apabila kau bertanyakan etnik mereka.
Apa perbezaannya? Sejujurnya aku pun tak tahu sangat! Tapi, yang penting, kau kena spesifik.
Contohnya, aku pernah kena tanya, kau orang apa? Aku jawablah orang Melayu. Dia tanya lagi, Melayu apa?
Aku terkebil-kebil. Melayu apa? Melayu apa lagi? Aku orang Melayu lah.
Rupa-rupanya, dah 18 tahun hidup, aku duduk Sabah, baru aku tahu pecahan bangsa, kaum & etnik di Malaysia. Ini contoh-contoh yang aku dapat beri:
Ya, spesifik yang macam itulah. Aku pun tak tahu nak tulis macam mana lagi.
Sebab itu, duduk di Timur Malaysia ni, bangsa orang lain ni orang tak ada nak ambil pusing pun. Kau sebenarnya kalau ikutkan tak mahu tahu pun apa etnik, bangsa & kaum orang lain, sebab susah nak ingat, cakap & faham kat sini. Malah, aku ada jumpa juga orang tempatan di sini, yang tak pasti atau tak tahu pun apa etnik, bangsa & kaumnya sendiri. Bukan kerana tak peduli, tetapi kerana keliru!
Hal ini memang sangat berbeza dengan warga Semenanjung yang apabila datang bab bangsa ni, kita meletakkan sempadan. Kau biasanya identiti kau 1 bangsa sahaja; Melayu, Cina, India, atau kaum lain. Kalau kau anak kacukan, kau akan diminta untuk pilih sama ada bangsa ayah atau mak kau. Dan memang banyak perbuatan kau akan dipengaruhi oleh klasifikasi itu.
Jadi, aku boleh cuba cakap dengan senang di sini; bahawa secara umumnya suasana hidup berbilang kaum di Timur Malaysia lebih baik berbanding di Semenanjung Malaysia, kerana
di Semenanjung kita lebih senang nampak & mencipta korelasi antara perbuatan seseorang & bangsanya. Hal ini memang amatlah sukar dilakukan di Timur Malaysia, kerana terlalu banyak etnik untuk dipadankan dengan pelbagai tingkah laku.
Aku nak tegaskan satu benda, secara umumnya kolerasi tersebut ada asasnya, disebabkan oleh pembolehubah yang ketiga, iaitu
budaya. Budayalah yang menjadi jambatan antara bangsa & perbuatan seseorang. Tetapi, kalaulah semua perbuatan kau tu, daripada kau celik mata bangun pagi sampai kau tutup mata nak tidur balik, pun kau buat kolerasi dengan bangsa & budaya, itu tak berasas namanya.
Aku beri satu contoh stereotaip: orang Cina pandai berniaga.
Secara umunya, stereotaip ini ada asasnya, kerana budaya orang Cina di Malaysia memang menitikberatkan perniagaan. Tetapi hal ini juga hanya sekadar stereotaip. Tak seharusnya kita terus menganggap semua orang Cina pandai berniaga. Kena ingat, ada saja, bahkan ramai juga sebenarnya orang Cina yang tak pandai berniaga. Malah sebenarnya, mungkin kau juga dah banyak jumpa mereka. Cuma kau tak sedar, sebab apabila kau nampak sesuatu di luar stereotaip, kau kaitkan benda tu dengan benda lain. Hanya apabila kau nampak sesuatu stereotaip, kau kaitkan dengan stereotaip itu semata-mata.
Biar aku beri lagi satu contoh stereotaip, untuk aku menjelaskan lagi; orang Melayu pemalas.
Sejujurnya aku kurang pasti di manakah asasnya stereotaip ini, tapi besar kemungkinan stereotaip ini datang daripada keistimewaan yang orang Melayu dapat sebagai warga Bumiputera
(yang sebenarnya aku rasa kalau untuk zaman lepas merdeka relevan la. Sekarang ni semua bangsa di Malaysia dah dapat peluang yang sama banyak pun. Yang bukan Bumiputera pun dah ada banyak lagi jalan untuk sama-sama berjaya dengan orang Melayu yang dapat menggunakan keistimewaan mereka).
Tapi, katakanlah seseorang yang berbangsa selain bangsa Melayu, menjumpai 5 orang Melayu, di mana 2 orang daripadanya pemalas & 3 orang daripadanya rajin.
Berikut merupakan kemungkinan apa yang berlegar di fikirannya:
Melayu 1 rajin? ‘Oh, di ni anak yatim, dia memang sabar & cekal daripada kecil, sebab tu dia rajin.’
Melayu 2 rajin? ‘Oh, dia dah biasa buat kerja ni daripada kecil, sebab tu dia rajin.’
Melayu 3 rajin? ‘Oh, dia memang suka buat kerja ni, sebab tu dia rajin.’
Melayu 4 malas? ‘Dasar Melayu, memang pemalas!’
Melayu 5 malas? ‘Dasar Melayu, memang pemalas!’
Haa… Nampak tak?
Dan hal ini bukan setakat teraplikasi pada stereotaip yang buruk sahaja. Yang baik pun sama juga!
Katakanlah seseorang yang berbangsa selain bangsa Cina, menjumpai 5 orang Cina, di mana 2 orang daripadanya mempunyai harta yang banyak & 3 orang daripadanya pula sangat miskin.
Berikut merupakan kemungkinan apa yang berlegar di fikirannya:
Cina 1 miskin? ‘Oh, dia memang datang daripada keluarga yang susah, sebab tu dia susah.’
Cina 2 miskin? ‘Oh, perniagaan keluarga dia jatuh bangkrap, sebab tu dia susah.’
Cina 3 miskin? ‘Oh, dia terlibat dengan skim penipuan, sebab tu dia susah.’
Cina 4 kaya? ‘Orang Cina, memanglah kaya!’
Cina 5 kaya? ‘Orang Cina, memanglah kaya!’
Nampak tak?
Untuk kedua-dua keadaan yang memenuhi stereotaip itu (‘Melayu malas’ & ‘Cina kaya’), ada banyak sahaja lagi faktor lain yang menyumbang kepada keadaan tersebut, sebagaimana ada banyak sahaja faktor yang kita dapat fikirkan untuk keadaan yang menyimpang daripada stereotaip itu (‘Melayu rajin’ & ‘Cina miskin’). Tetapi, untuk keadaan yang memenuhi stereotaip itu, kita mencipta kolerasi dengan bangsa sahaja.
Bukankah itu rasisme namanya?
Bukankah rasisme itu kita melayan seseorang
hanya & hanya semata-mata kerana bangsa seseorang? Tak kisah lah layan tu dengan baik atau dengan buruk.
Cubalah kau bawa sentimen pemikiran ni ke Sabah & Sarawak. Gerenti tak masuk akal langsung bunyinya nanti.
‘Orang Bajau memang sifatnya A.’
‘Orang Dusun memang sifatnya B.’
‘Orang Melayu Brunei memang sifatnya C.’
Jadi kau nak kata dia ABC, hanya semata-mata sebab bangsa dia?
Aku memang dari dulu sangat ingin tahu pasal hal ini; kenapa secara umumnya suasana hidup berbilang kaum di Timur Malaysia lebih baik berbanding di Semenanjung Malaysia?
Dan, aku bukanlah nak kata inilah jawapannya, tetapi ini antara satu faktor yang akhirnya aku dapat lihat dengan jelas.
Di Semenanjung Malaysia, kita lebih senang nampak & mencipta korelasi antara perbuatan seseorang & bangsanya.
Di Sabah, hal ini hampir mustahil.
Dan memang sepatutnya hampir mustahil pun.
Comments
Post a Comment